Berita SemasaPolitik

PRK DUN Mahkota: Lebih 95 peratus keluar undi awal

KLUANG – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor berjalan dengan lancar hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pengundian awal yang bermula jam 8 pagi melibatkan tiga pusat mengundi, iaitu di Dewan Pengaman Zamrud, Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim dan Dewan Mahkota di Kem Mahkota Kluang.

Katanya, seramai 4,437 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab mereka.

“Peratusan keluar mengundi bagi proses pengundian awal ini mencapai 95.45 peratus.

“Saya mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan proses pengundian awal itu. Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak, termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia dan media, telah membantu memastikan segalanya berjalan dengan teratur,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas sokongan serta kerjasama yang diberikan.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kekosongan kerusi berikutan penyandangnya, meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Proses pengundian penuh bagi PRK Mahkota dijadualkan berlangsung pada 30 September 2024.

Show More

Related Articles

Back to top button