Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pekebun sawit rugi RM290,000 ditipu wanita menyamar pegawai MCMC

BATU PAHAT – Seorang pekebun sawit berusia 61 tahun kerugian RM300,000 selepas diperdaya seorang individu yang menyamar sebagai pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa pada mulanya dihubungi seorang wanita yang mengaku sebagai pengawai dari MCMC dan mendakwa mangsa terbabit dalam sindiket penipuan akaun bank.

Beliau berkata, mangsa kemudian disambung kepada seorang pegawai polis di Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

“Dalam perbualan itu, mangsa diberitahu bahawa dia akan disiasat dan asetnya boleh dibekukan.

“Mangsa juga diminta mengikuti perbicaraan di mahkamah sebelum meminta memindahkan wang ke dalam beberapa akaun bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata, mangsa yang bimbang mengenai perkara itu telah melakukan beberapa pemindahan wang kepada enam akaun berbeza secara berperingkat melibatkan jumlah RM290,000.

“Mangsa akhirnya sedar dirinya telah ditipu dan hadir membuat laporan di Balai Polis Parit Sulong, di sini, semalam.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan yang tidak dikenali dan melakukan semakan dengan pihak berkuasa.

Show More

Related Articles

Back to top button