Berita Semasa

UPSR, PT3 tidak akan dibuat terburu-buru – KPM

PUTRAJAYA – Keputusan untuk mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) perlu dibuat secara menyeluruh dan tidak boleh diputuskan secara terburu-buru.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, buat masa ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kekal dengan keputusan terdahulu untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan tersebut.

“Kita perlu konsisten. Anak-anak kita bukan bahan ujikaji, sekejap ada peperiksaan, sekejap tiada. Keputusan yang kita buat sudah mengambil kira pelbagai faktor, termasuk peneguhan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan latihan kepada guru-guru,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan KPM di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan beberapa pihak yang mahu UPSR dan PT3 dikembalikan dengan alasan ia membantu perkembangan murid serta mengurangkan keciciran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Fadhlina, KPM kini memberi fokus kepada perancangan kurikulum baharu untuk 2027 dan sedang merangka pelan pembangunan pendidikan untuk tempoh 10 tahun, bermula 2026.

Dalam kenyataan berasingan, KPM turut menyatakan bahawa pihaknya proaktif dalam melaksanakan pelbagai langkah bagi menangani isu keciciran dalam SPM, dengan tiga faktor utama dikenal pasti sebagai penyumbang: berhenti sekolah, buang sekolah dan pelajar yang telah bekerja.

Jumlah ketidak hadiran murid dalam SPM berjaya dikurangkan kepada 10,160 pada 2023 berbanding 14,858 pada tahun sebelumnya, menunjukkan penurunan sebanyak 1.2 peratus. Namun, KPM akan terus meningkatkan usaha untuk menangani masalah keciciran itu.

Pelbagai program telah dilaksanakan bagi menggalakkan kehadiran murid dalam SPM, termasuk Program Jom Ke Sekolah, pelantikan duta sahsiah dan kerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia menerusi Program Remaja Unggul Aspirasi Negara.

KPM juga bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Yayasan Hasanah untuk melaksanakan program intervensi bagi menangani keciciran pembelajaran dengan fokus kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5. Inisiatif itu merangkumi kelas tambahan bagi subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik, serta bimbingan dalam aspek keyakinan diri dan hala tuju selepas SPM.

Show More

Related Articles

Back to top button