Berita Semasa

KPM serius tangani isu keciciran SPM

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan keciciran murid dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, meskipun jumlah ketidak hadiran murid dalam SPM berjaya dikurangkan kepada 10,160 pada tahun 2023 berbanding 14,858 pada tahun sebelumnya, usaha lebih besar perlu diambil untuk menangani masalah ini secara berterusan.

“Walaupun terdapat pengurangan sebanyak 1.2%, kami tidak akan berhenti di sini. Tiga punca utama keciciran dikenal pasti adalah kerana murid berhenti sekolah, dibuang sekolah atau sudah bekerja,” katanya di sini hari ini.

Fadhlina berkata, bagi menangani masalah ini, KPM telah melaksanakan beberapa program seperti Program Jom Ke Sekolah, pelantikan duta sahsiah, serta kerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia dan Program Remaja Unggul Aspirasi Negara.

Program itu katanya bertujuan meningkatkan kehadiran murid dalam peperiksaan SPM serta memperkukuhkan sahsiah dan jati diri mereka.

“Antara langkah intervensi lain yang turut dilaksanakan ialah Program Gempur Kehadiran SPM, program psikometrik PBS, Program Minda Sihat, Program Jejak SPM, bengkel pemantapan intervensi, pemerkasaan guru bimbingan dan kaunseling (GBK), serta karnival pendidikan dan kerjaya.

“KPM juga telah membangunkan dashboard calon SPM berisiko cicir bagi membantu pihak sekolah mengenal pasti dan memberikan sokongan kepada murid yang memerlukan,” katanya lagi.

Dalam usaha menambah baik lagi program intervensi, KPM kini bekerjasama dengan Kementerian Kewangan serta rakan strategik, Yayasan Hasanah.

Fadhlina berkata, melalui kerjasama itu, kelas tambahan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik telah diperkenalkan untuk murid Tingkatan 4 dan 5.

Selain itu, program khas untuk meningkatkan keyakinan diri murid dan bimbingan hala tuju selepas SPM turut diadakan.

“Kami mahu murid bukan sahaja bersedia menghadapi peperiksaan tetapi juga memahami hala tuju mereka selepas tamat persekolahan,” katanya lagi.

Menurut Fadhlina, pihak kementerian amat prihatin dengan masalah murid yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah berdasarkan keputusan SPM baru-baru ini.

Oleh itu, KPM telah mengambil tindakan segera dengan melaksanakan pemugaran bahan sokongan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut.

“Kami memastikan semua murid mampu menguasai dua mata pelajaran wajib itu. Bimbingan berfokus sedang dilaksanakan di daerah yang memerlukan dan kerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan diteruskan untuk mencapai sasaran,” tambahnya lagi.

Kerajaan Madani turut memberi perhatian serius dalam isu keciciran murid SPM kerana ia penting bagi masa depan negara.

“Langkah proaktif itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan generasi muda mempunyai taraf pendidikan yang baik dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara.”

Menurutnya, memastikan tiada murid yang tercicir adalah penting untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan seterusnya memperkukuh ekonomi negara selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani.

“Kami mahu setiap murid mendapat pendidikan yang terbaik dan seterusnya membentuk masa depan yang lebih cerah untuk mereka serta negara,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button