Berita Semasa

Tumpahan Diesel di Sg. Slim: LUAS, Air Selangor pantau rapi bekalan air

SHAH ALAM – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Air Selangor bertindak pantas dengan menjalankan pemantauan rapi berikutan insiden tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu Sungai Slim, Perak, malam semalam.

Menurut kenyataan LUAS, pihaknya telah melaksanakan pemantauan menyeluruh sepanjang malam di Sungai Slim, Sungai Bernam serta muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headworks (BRH).

Pemantauan secara intensif dengan analisis kadar bau dilakukan setiap jam bagi memastikan kualiti air terjaga.

“Pemantauan ini ditamatkan sekitar pukul 7 pagi tadi setelah didapati kualiti air di Sungai Bernam berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kesan minyak atau bau abnormal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

LUAS juga memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan pemantauan susulan di lokasi-lokasi berkaitan dan akan terus berkomunikasi dengan pihak berkuasa bagi memastikan tiada risiko lain yang boleh menjejaskan sumber air Sungai Bernam.

“Insiden tumpahan minyak diesel tersebut dilaporkan berlaku sekitar pukul 8 malam semalam apabila maklumat diterima daripada pihak berkuasa Negeri Perak.

“Sungai Slim yang merupakan sebahagian daripada lembangan Sungai Bernam berpotensi memberi impak kepada aliran sungai yang turut mengalir ke negeri Selangor,” katanya lagi.

Tindakan pantas LUAS dan Air Selangor termasuk pengaktifan pemantauan statik di Sungai Slim berjaya mengawal situasi dengan baik.

Katanya sehingga pukul 1 pagi tadi, pemantauan bau mencatatkan bacaan 0 ton, menunjukkan keadaan terkawal dan tiada sebarang pencemaran dikesan setakat ini.

“Pasukan berkenaan akan terus memantau keadaan semasa dan bersiap sedia untuk sebarang tindakan mitigasi bagi memastikan kualiti air di kawasan terjejas berada pada tahap yang selamat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button