Berita SemasaJenayah & Mahkamah

GISBH : Polis Selangor perkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa agama

KLANG – Polis Selangor mengukuhkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dalam siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) untuk memastikan kes berkenaan ditangani dengan lebih efisien dan menyeluruh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerjasama itu telah wujud sejak peringkat awal penyiasatan lagi dengan sokongan daripada pasukan khas bersepadu di peringkat Bukit Aman.

“Polis Selangor, JAIS dan MAIS saling bertukar maklumat berkaitan aktiviti GISBH di negeri itu, ” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Beliau turut mengesahkan akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membincangkan isu berkaitan GISBH dan langkah seterusnya.

Sultan Sharafuddin sebelum ini menitahkan agar semua agensi agama di Selangor bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan individu yang terlibat dengan sebarang kesalahan jenayah berkaitan GISBH dan rangkaiannya dibawa ke muka pengadilan.

Baginda juga mengarahkan agar semua institusi bawah GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah, termasuk jenayah syariah, ditutup segera.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa seramai 155 individu termasuk 77 wanita telah ditahan dalam operasi besar-besaran, Op Global, di seluruh Semenanjung Malaysia pada Sabtu.

Serbuan itu melibatkan 82 premis yang merangkumi rumah amal, klinik, premis perniagaan, maahad dan rumah persendirian.

Operasi ini menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu yang melibatkan GISBH serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam terus terpelihara.’

Show More

Related Articles

Back to top button