Berita Semasa

Sultan Selangor titah semua sekolah, rumah GISBH di Selangor ditutup

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua rumah amal dan sekolah islam dibawah kelolaan GISB Holding Sdn. Bhd. (GISBH) ditutup dengan kadar segera.

Baginda bertitah, semua rumah dan sekolah berkenaan juga tidak dibenarkan beroperasi di negeri Selangor, dan ia termasuk rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah.

Titah Sultan Sharafuddin lagi, berdasarkan laporan diterima baginda, kebanyakan rumah amal GISBH yang terlibat dalam siasatan juga telah lama beroperasi di beberapa buah negeri di negara ini khususnya di Selangor tanpa pendaftaran.

“Beta berasa kesal dan kecewa kerana perkara ini telah berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani perkara ini.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH serta rangkaiannya sehingga menyebabkan perkara ini menjadi begitu serius dan tidak terkawal,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bertitah, telah memanggil mengadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ketua Polis Selangor dan anggota MAIS dalam satu mesyuarat.

Hasil mesyuarat itu, baginda telah menitahkan agar semua agensi agama Islam Selangor iaitu MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan kerjasama.

Ia adalah bagi menjalankan siasatan secara mendalam untuk memastikan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kesalahan jenayah ini diheret ke mahkamah dan didakwa.

Terdahulu, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan dikaitkan syarikat itu di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini memaklumkan ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

PDRM juga sudah membekukan 96 akaun milik syarikat terbabit bernilai lebih setengah juta ringgit.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Selasa lalu menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH

Show More

Related Articles

Back to top button