Berita Semasa

Masuki kawasan banjir hanya kerana mahu buat ‘content’ media sosial

Polis Kedah beri amaran akan ambil tindakan

ALOR SETAR – Polis Kedah akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang memasuki kawasan banjir hanya kerana mahu membuat kandungan (content) di media sosial.

Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh berkata, tindakan mengambil kesempatan atas kesengsaraan orang lain demi mengejar tontonan atau rating tinggi, tidak sepatutnya berlaku.

“Kalau mereka buat ‘content’ yang boleh membantu pihak penguat kuasa, contohnya menyalurkan maklumat berkaitan bencana banjir itu tidak apa kerana ia akan membantu semua pihak. Tetapi, kalau mereka suka-suka buat video untuk naikkan ‘rating’, itu tidak boleh.

“Sekiranya polis mengesan ada pihak membuat siaran langsung di tempat bahaya, kita akan sekat dan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau di Pokok Sena, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir mangsa sanggup keluar dari PPS dan ke kawasan banjir untuk membuat content di laman media sosial mereka.

Sementara itu, Fisol berkata, anggota polis di setiap daerah dan kawasan terjejas banjir diarah melakukan rondaan berkala bagi memastikan tiada kejadian jenayah seperti kes pecah rumah mangsa banjir.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlaku faktor kecuaian dalam kes seorang kanak-kanak perempuan dua tahun ditemui lemas dalam longkang di Lorong Seri, di sini semalam.

“Kita akan panggil keluarga kanak-kanak itu bagi siasatan lanjut dan ia menjurus kepada kecuaian. Hasil bedah siasat yang selesai tadi mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.

“Siasatan akan diteruskan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021,” katanya lagi.

Terdahulu, laporan media menyebut mengenai penemuan jasad Nur Aisha Misya Afifah Abdul Fattah, 2, yang hanyut dalam longkang oleh orang kampung pada 8 malam kelmarin.

Show More

Related Articles

Back to top button