Berita Semasa

PRK Mahkota: Pelajar baharu universiti awam diberi kelonggaran daftar lewat

PUTRAJAYA – Pelajar baharu universiti awam yang terlibat dengan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini, diberi kelonggaran untuk mendaftar lewat di kampus masing-masing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kelonggaran itu hasil perbincangan pihaknya dengan 12 universiti awam (UA) yang terlibat.

“Bagi menghormati hak mengundi seperti yang tertakluk dalam perlembagaan, KPT akan memberikan kelonggaran kepada mahasiswa baharu yang mengundi di PRK DUN Mahkota untuk mendaftar lewat ke UA masing-masing sehinga 29 September 2024 (Ahad).

“Ketetapan dibuat hasil perbincangan KPT bersama 12 UA sebagai usaha memberi kemudahan untuk mahasiswa baharu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih wakil rakyat di kawasan berkenaan,” kata Zambry dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya, pelajar yang terlibat boleh berhubung terus dengan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UA masing-masing dan memaklumkan tentang status sebagai pengundi di PRK DUN Mahkota.

PRK Mahkota menyaksikan Barisan Nasional (BN) meletakkan Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, manakala Perikatan Nasional (PN) diwakili bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Show More

Related Articles

Back to top button