Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Ordinan Buruh Sarawak dibentang di Parlimen hujung tahun ini

KUCHING – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengumumkan pembentangan pindaan Ordinan Buruh Sarawak (SLO) di Parlimen pada hujung tahun ini.

Pengumuman itu disifatkan sebagai berita baik yang lama dinantikan dan akan memberi manfaat besar kepada pekerja di Sarawak.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii berkata, pengumuman tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta kabinet negeri untuk meminda Ordinan Buruh Sarawak bagi menyesuaikannya dengan Akta Kerja 1955 Persekutuan dan itu merupakan hasil daripada usaha kerjasama yang dipercepatkan antara Kementerian Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Pindaan ini telah lama ditunggu-tunggu, dan sejak Steven Sim memegang jawatan pada Disember 2022, ia menjadi salah satu keutamaan beliau kerana kepentingannya.

“Melalui pindaan ini, pekerja di Sarawak akan menikmati perlindungan, faedah dan hak yang lebih baik, setara dengan rakan sekerja di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelvin turut menyatakan bahawa Kementerian Sumber Manusia juga telah membentangkan Ordinan Buruh Sabah untuk bacaan kali pertama pada sidang Parlimen yang lalu, dengan tujuan yang sama untuk memperluaskan perlindungan dan hak pekerja di Sabah.

“Antara hak yang akan ditambah baik menerusi pindaan tersebut termasuk peningkatan cuti bersalin bagi ibu bekerja daripada 60 hari kepada 98 hari, pelaksanaan cuti paterniti selama tujuh hari, manfaat kerja lebih masa, penambahan klausa anti-diskriminasi di tempat kerja, susunan waktu kerja yang fleksibel, laporan mengenai gangguan seksual dan penambahbaikan lain.

“Sebelum ini, hanya pekerja Sarawak yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 layak mendapat perlindungan daripada ordinan ini serta Akta Kerja. Namun, melalui pindaan itu, had pendapatan tersebut akan dinaikkan kepada RM4,000, memperluas perlindungan kepada lebih ramai pekerja,” katanya lagi.

Tambah beliau, jika pindaan kepada Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak itu diluluskan di Parlimen, pekerja di kedua-dua negeri itu akan menikmati perlindungan dan hak yang lebih baik, setara dengan pekerja di Semenanjung Malaysia, selepas bertahun-tahun berjuang.

“Itu adalah sesuatu yang telah diperjuangkan oleh kesatuan sekerja di wilayah kita selama bertahun-tahun dan perlu menerima sokongan bi-partisan daripada semua Ahli Parlimen demi manfaat pekerja kita yang merupakan tulang belakang ekonomi negara,” tegasnya

Show More

Related Articles

Back to top button