Berita Semasa

Hargai kepelbagaian budaya, perkukuh perpaduan dan keamanan masyarakat

SIBU – Perpaduan dan keamanan dalam masyarakat dapat diperkukuhkan dengan menghargai kepelbagaian budaya yang wujud dalam negara kita.

Sehubungan itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat Malaysia supaya terus menghargai dan memelihara warisan budaya.

“Dengan menghargai kepelbagaian budaya, kita dapat memperkukuh perpaduan dan keamanan dalam masyarakat.

“(Oleh itu) kita semua (perlu) terus memupuk semangat menghargai dan memelihara warisan budaya, serta berusaha untuk hidup dalam keharmonian dengan menerima dan menghormati kepelbagaian yang ada di sekeliling kita,” katanya.

Aaron berkata demikian dalam ucapannya pada Pesta Kanowit dan Perasmian Kanowit WaterFront, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian.

Aaron kemudiannya berkata, penganjuran pesta ini selari dengan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ yang dilancarkan kementeriannya, tahun lalu.

“Inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ adalah salah satu pengisian utama dalam program flagship Kementerian iaitu Kembara Perpaduan Malaysia MADANI melalui konsep ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’, dan (penganjuran) pesta ini selari dengan inisiatif berkenaan.

“Program ini diyakini berupaya menyuntik semangat cinta kepada tanah air melalui penghayatan terhadap kepelbagaian khazanah yang kita warisi sejak turun temurun lagi,” katanya lagi.

Dianjurkan oleh Majlis Daerah Kanowit, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, Pesta Kanowit merupakan program promosi pelancongan bagi menarik pelancong luar berkunjung ke kawasan luar bandar.

Selain meraikan sejarah dan tradisi, pesta ini juga mengiktiraf kepelbagaian dan sumbangan yang telah membentuk identiti Malaysia yang unik.

Berlangsung mulai hari ini hingga Ahad, pelbagai acara menarik diadakan termasuk Kanowit RC Boat Challenge, Fun Fair and Trade Fair, Kanowit Power Boat race, Jualan Rahmah, pameran jabatan dan agensi kerajaan, Majlis Tradisi (Adat Miring), dan Ratu Pesta Kanowit.

Show More

Related Articles

Back to top button