Berita Semasa

GISBH sahkan pemimpin termasuk pengerusinya ditahan

KUALA LUMPUR – Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengesahkan pemimpinnya termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga pengerusinya ditahan polis, semalam.

Menurut GISBH dalam satu kenyataan, pihaknya menghormati tugas dijalankan pihak berkuasa demi keadilan undang-undang.

“Diminta supaya semua pihak menunggu hasil siasatan untuk beberapa hari lagi.

“Justeru, kami mohon kerjasama atau doa semua pihak supaya segala kekusutan dan kesulitan ini terlerai dengan segera serta keadilan semua pihak dapat ditegakkan,” kata kenyataan tersebut yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi syarikat itu.

Laporan media semalam menyebut, seramai 19 individu termasuk pengerusi yang juga CEO GISBH bergelar Datuk ditahan menerusi Op Global bagi membantu siasatan yang dihadapi syarikat berkenaan.

Turut ditahan, isteri dan dua anaknya serta anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, kesemua mereka berusia antara 25 hingga 65 tahun itu ditahan di empat unit kediaman di sebuah apartment servis di Bukit Bintang.

Serbuan jam 5.40 pagi dilakukan pasukan Bahagian Operasi Khas (D8), Pasukan Khas Siasatan Bersepadu (PKSB) dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Kesemua mereka terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita ditahan reman tujuh hari sehingga 25 September ini di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button