Jenayah & Mahkamah

Kes ‘counter setting’: SPRM buka 37 kertas siasatan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak 37 kertas siasatan dengan 95 individu telah diambil keterangan setakat ini dan akan memanggil saksi lain untuk melengkapkan siasatan kes ‘counter setting’ di KLIA.

Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menerusi Op Pump, Op Setting dan Op Pump 2.0 yang dijalankan masing-masing pada 20 Ogos, 29 Ogos serta 12 September lalu, berjaya menahan seramai 60 individu.

Mereka terdiri daripada 49 penguat kuasa daripada JIM termasuk seorang anggota wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan serta 10 ejen sindiket.

Kata Azam Baki, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi baki individu yang ditahan.

“Daripada jumlah yang kita tahan dalam siasatan ini, ada yang boleh dituduh di mahkamah akan dicadangkan untuk pertuduhan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibupejabat SPRM, di sini hari ini.

Beliau kemudiannya menambah, seorang ejen warga Myanmar telah dituduh pada 28 Ogos lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor manakala empat lagi ejen sindiket akan dituduh dalam masa terdekat.

Bagi pegawai Imigresen yang tidak boleh dituduh di mahkamah kerana kekurangan bukti, Azam Baki berkata SPRM akan mencadangkan tindakan tatatertib dikenakan ke atas mereka.

“Bila melibatkan kes rasuah ini, dua elemen penting kita perlu buktikan. Pertama, sudah pasti adalah penerima. Katakan pegawai Imigresen ini ada beberapa keterangan tentang dia menerima (rasuah) tapi kita perlu buktikan siapa pemberi.

“Ada kes yang mana mereka ada wang yang kita perolehi tapi kita perlu membuktikan siapa memberi (rasuah) sebab dalam pertuduhan kes rasuah mesti disebut tentang penerima rasuah dan daripada siapa,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button