Jenayah & Mahkamah

Kes ‘counter setting’ di KLIA: Dalang utama bersekongkol dengan sindiket didakwa bulan depan

PUTRAJAYA – Dalang utama yang bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’ akan didakwa di mahkamah awal bulan depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, individu berkenaan yang juga seorang pegawai Imigresen ‘berpengaruh’ ditahan pada 5 September lalu.

“Itu yang antara seorang kita tahan (dalang utama), dia mengawal lebih kurang 50 pegawai (Imigresen) sebab dia yang berpengaruh.

“Dia ‘focal person’ (individu utama) yang menjadi perantara terhadap hampir semua pegawai imigresen supaya melaksanakan apa yang di arahkan oleh dia,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, SPRM sedang memburu individu dipercayai pegawai Imigresen yang menjadi dalang dalam sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi laluan kaunter khas.

Azam dilapor berkata, pegawai terbabit disyaki sudah melarikan diri sebaik sahaja siasatan kes bermula, namun dipercayai masih berada di dalam negara.

SPRM sebelum ini berjaya membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing, termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan disyaki didalangi anggota penguat kuasa agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Show More

Related Articles

Back to top button