Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kebocoran maklumat: Laporan terhadap Edisi Siasat telah dibuat tapi masih tiada keputusan – peguam

PETALING JAYA – Siasatan berhubung kebocoran maklumat mengenai gambar dan ringkasan laporan bedah siasat yang didakwa sebagai kes kematian kanak-kanak Austistik, Zayn Rayyan Abdul Mattin melalui saluran Edisi Siasat (ES) telah dilakukan namun masih belum ada sebarang keputusan.

Peguam pembelaan, Fahmi Abd. Moin berkata, laporan mengenai kebocoran maklumat melalui saluran ES di aplikasi Telegram telah dibuat oleh pihak keluarga mangsa (Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari).

Selain itu, beliau turut dimaklumkan bahawa laporan mengenai perkara yang sama juga dilakukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Laporan Edisi Siasat telah dibuat oleh salah seorang ahli keluarga dan juga laporan oleh pihak polis untuk menyiasat kebocoran maklumat berkaitan gambar-gambar post mortem dan juga ringkasan daripada pihak pengawai penyiasat.

“Setakat ini pihak kami dimaklumkan telah ada siasatan dibuat dan masih belum ada keputusan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Fahmi berkata, pihaknya juga dimaklumkan bahawa PDRM turut mencadangkan kepada pihak keluarga supaya membawa isu tersebut kepada pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM sekiranya tidak ada apa-apa tindakan daripada laporan itu.

Sementara itu, Fahmi berkata, pihaknya telah membuat laporan terhadap lima pemilik akaun TikTok seperti mana dicadangkan oleh mahkamah sebelum ini bagi menghalang penyebaran maklumat tidak betul.

“Pihak mahkamah telah mencadangkan agar satu laporan dibuat untuk menghalang TikToker-TikToker yang kami namakan sebanyak lima tersebut sebelum ini supaya tidak memberikan apa-apa atau memuatnaik cerita-cerita yang tidak betul,” kata beliau.

Katanya, pihak pembelaan juga telah membuat laporan mengenai perkara itu kepada Suruhanjaya Komuniasi dan Multimedia (MCMC) dan mengemukakan latar belakang pemilikan akaun-akaun TikTok berkenaan.

“Kami sudah rujuk kepada pihak MCMC dan mereka akan ambil tindakan. Itu yang telah dijanjikan oleh pihak MCMC.

“Sekiranya kami dapat pengesahan daripada pihak MCMC kami akan memohon semula kepada pihak mahkamah untuk get order,” katanya.

Fahmi berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk sesiapa bercakap mengenai kes tersebut tetapi perlu mematuhi etika, cara dan bidang kuasa undang-undang dengan tidak bercakap melulu atau membuat kenyataan yang jelik dan berunsur fitnah.

Show More

Related Articles

Back to top button