Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Banjir di Kedah semakin memburuk, 2,039 dipindah ke PPS

KUALA LUMPUR- Situasi banjir yang melanda enam daerah di Kedah dilaporkan semakin buruk apabila sejumlah 2,039 mangsa membabitkan 341 keluarga terpaksa dipindahkan, ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) semalam.

Jumlah mangsa itu meningkat sekali ganda hanya dalam tempoh tiga jam setakat 11 malam semalam berbanding 1,018 mangsa yang direkodkan pada 8 malam, menurut Berita Harian.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata pihaknya bersiap sedia membuka PPS di daerah dilanda banjir membabitkan jumlah mangsa ramai bagi memastikan mereka mendapat bekalan makanan mencukupi.

Terdahulu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan Kuala Nerang turut melakukan operasi menyelamat di Kampung Derang yang dinaiki air sebelum mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Agama (SMA) Derang di Pokok Sena.

Sementara itu, tujuh sungai di Kedah juga menunjukkan bacaan melepasi tahap bahaya, membabitkan tiga di Kubang Pasu, dua di daerah Kota Setar dan masing-masing satu di Baling dan Yan.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata dan Sungai Laka di daerah Kubang Pasu menunjukkan trend menaik, diikuti Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar.

Selain itu, Sungai Sedim di Kampung Sedim di daerah Baling dan Sungai Gurun di Kampung Perupok di daerah Yan juga menunjukkan trend sama.

Tiga sungai iaitu Sungai Perik di daerah Padang Terap, Sungai Ketil di Kuala Pegang di daerah Baling dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang di daerah Pendang menunjukkan aras bacaan melepasi tahap amaran.

Show More

Related Articles

Back to top button