Berita Semasa

Seri Paduka berangkat ke China, Khamis ini

Eratkan persahabatan kedua buah negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan berangkat ke China bagi lawatan selama empat hari bermula Khamis ini.

Menerusi perkongsian di akaun rasmi Facebook Sultan Ibrahim, lawatan itu juga akan mencatatkan sejarah penting dalam perhubungan diplomatik Malaysia-China yang memasuki 50 tahun.

“Hubungan dengan China membawa pelbagai manfaat kepada Malaysia sepanjang lima dekad yang lepas. Saya berharap lawatan ini juga menjadi asas kepada pengukuhan persahabatan ke dekad seterusnya.

“Saya yakin terdapat pelbagai bidang yang boleh diterokai bersama dengan kepakaran yang ada antaranya dalam sektor ekonomi digital, pembangunan hijau serta dan perindustrian,” titah Seri Paduka kepada Royal Press Office (RPO).

Dalam lawatan itu juga, Seri Paduka dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Li Qiang, diikuti pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping.

Sultan Ibrahim juga akan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknikal Kapal Terbang Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.

Baginda juga dijadualkan bertemu dengan diaspora Malaysia di China, dan turut memperkenankan penamaan semula Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University bersempena nama Baginda.

Show More

Related Articles

Back to top button