Berita Semasa

Ruslin Jusoh dilantik Ketua Pengarah AADK baharu

KUALA LUMPUR – Datuk Ruslin Jusoh dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan tersebut sekali gus mengisi kekosongan jawatan itu yang ditinggalkan penyandang terdahulu, Sutekno Ahmad Belon pada 26 April lalu.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen itu dilantik sebagai Ketua Pengarah AADK yang ke-14 bagi menggantikan Sutekno yang kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia.

AADK dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Ruslin berpengalaman selama lebih 28 tahun dalam perkhidmatan awam melalui lantikan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1995.

“Datuk Ruslin juga pernah memegang jawatan utama antaranya Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.

“Sehubungan itu, AADK merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Datuk Ruslin atas pelantikan ini,” katanya.

Sementara itu, AADK turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Sutekno atas khidmat bakti sepanjang memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah AADK.

Show More

Related Articles

Back to top button