Jenayah & Mahkamah

96 akaun bank GISBH dibekukan – Razarudin

KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan 96 akaun milik Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dibekukan.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua akaun bank berkenaan dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, selain empat akaun telah ditutup, bernilai sebanyak RM581,552.

“Sehingga kini sebanyak 96 akaun melibatkan GISBH yang berjumlah RM581,552.31 telah dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Sebanyak empat akaun telah ditutup dan lapan kenderaan telah dikeluarkan perintah pembekuan,” katanya dalam satu sidang akhbar di PULAPOL, di sini hari ini.

Razarudin turut memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil Pengarah Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Jelas beliau, pihaknya juga akan menyiasat dakwaan dibuat Nasiruddin menerusi satu video kenyataan berhubung Op Global dijalankan.

“Dakwaan yang beliau (Nasiruddin) sebelum ini pernah berbincang dengan pihak pihak berkepentingan adalah tidak benar kerana kami tidak mengetahui asal usul kenyataan itu.

“Bagaimanapun, jika benar, kami akan menyiasat dengan siapa beliau pernah berbincang dan berkolaborasi, katanya.

Dalam pada itu, Razarudin turut mempertikaikan kenyataan Nasiruddin yang mengajak pihak berkuasa berbincang berkait dakwaan jenayah seksual berlaku di GISBH.

“Untuk kita berbincang di bawah ATIPSOM (Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang melibatkan tuduhan kesalahan seksual dan penderaan. Adakah perlu untuk kita berbincang?

“Kami sedang menjalankan siasatan dengan telus dan adil untuk membela hak mereka yang berhak,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button