Berita Semasa

Silibus baharu tahfiz akan persiapkan huffaz dengan ilmu depani Islamofobia – JAIS

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memperkenalkan silibus baharu pendidikan tahfiz bagi memastikan golongan pelajar itu dilengkapi ilmu seimbang antara pengajian al-Quran dengan pendidikan lain.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, antara silibus yang bakal diperkenalkan termasuk cabang ilmu dalam mendepani Islamofobia.

“Kita perkenalkan moderasi kurikulum tahfiz, selain beberapa langkah supaya ada silibus baharu yang diangkat supaya pelajar ini tidaklah hanya menghafal al-Quran tetapi tahu apa yang berlaku di sekitar dan ada kebijaksanaan (ilmu lain).

“Tuanku (Sultan Selangor Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) telah bertitah, Tuanku tak nak belajar al-Quran sahaja tapi tidak faham makna al-Quran, pengajaran dari al-Quran. (Jika tidak) macam mana nak menghadapi Islamofobia?” katanya, hari ini.

Mohd Shahzihan kemudiannya berkata, moderasi kurikulum tahfiz dijalankan secara berfasa sebelum dikuatkuasakan secara menyeluruh.

“Kurikulum moderasi tahfiz sudah dibangunkan cuma kita nak pertingkatkan lagi kurikulum. Antaranya bahasa Arab dan pengetahuan am yang dipanggil politik kenegaraan.

“Bila dia tahu negara, kenal negara, tahu arah tuju. Kita membahas tentang negara yang kita sayang. Tidak mahu nanti tanpa (ilmu) politik kenegaraan mereka hilang daya kuasa sebagai sebuah masyarakat akhirnya taksub kepada kumpulan tentu,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu golongan pelajar huffaz dipersiapkan dengan ajaran Islam yang sebenar bagi berdepan kelompok islamofobia dan pihak yang menanam kebencian menerusi Islam di negara ini.

Beliau berkata, hal ini kerana agama Islam di negara ini berada dalam persimpangan disebabkan kelompok itu yang mencemarkan kesuciannya.

Show More

Related Articles

Back to top button