Politik

MoU peruntukan pembangkang kandungi perjanjian sangat bahaya – Ahmad Fadhli

KUALA LUMPUR – Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan langkah Perikatan Nasional (PN) menolak dua set deraf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang sebagai langkah yang tepat.

Menurut Ketua Penerangan Pas itu, ia kerana memorandum yang dicadangkan mengandungi terma-terma perjanjian yang sangat bahaya kepada kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang telah menjamin kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa Bumiputera.

Katanya, dalam memorandum tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa ahli-ahli Parlimen PN hendaklah memperakui hak-hak sama rata semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Tiada sebarang jaminan dinyatakan terhadap kedudukan agama Islam dan hak-hak Bumiputera di dalam memorandum tersebut menjadikan ia perkara yang berada dalam kedudukan yang samar dan boleh ditafsirkan dengan pemahaman yang salah.

“Bukankah Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan mengatasi agama-agama yang lain?

“Bukankah Perlembagaan yang sama juga menjamin hak-hak Bumiputera, maka apakah maksud dari terma perjanjian yang ‘memaksa’ Perikatan Nasional memperakui hak-hak samarata tanpa mengira agama dan bangsa?

“Tidakkah cukup dengan hanya meminta semua pihak menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen yang dipersetujui bersama? Atau Pakatan Harapan sedang membawa ICERD dalam bentuk baru?,” soalnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambah Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, kandungan MoU itu belum lagi dinyatakan mengenai ‘paksaan’ kepada Ahli-ahli parlimen pembangkang untuk tidak membuat ‘bangkangan yang sia-sia’ di dalam Parlimen.

“Siapakah yang akan membuat defisini ‘sia-sia’ itu? Jika tidak boleh membuat bangkangan, maka apa lagi tugas seorang ahli parlimen? Untuk menjadi ‘rubber stamp’ kepada kerajaan?,” soalnya lagi.

Ahmad Fadhli menegaskan pembangkang tidak akan tunduk dengan ‘kejahatan dan kezaliman’ ini.

“Biar mati berkalang tanah, dari hidup bercermin bangkai. Adakah tidak benar fakta perjanjian ini? Nah, dedahkan kandungan perjanjian jika kerajaan berani,” katanya.

Hari ini, PN memutuskan untuk menolak dua set deraf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata, keputusan itu dibuat atas empat sebab fundamental yang disifatkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Show More

Related Articles

Back to top button