PM X

Kerajaan teruskan usaha angkat martabat pelajar tahfiz

KUALA LUMPUR – Kerajaan meneruskan usaha untuk terus mengangkat martabat pelajar huffaz agar tidak ketinggalan dalam aspek pekerjaan serta kehidupan khususnya melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyediakan banyak peluang kepada huffaz untuk menceburi bidang TVET dengan kerjasama pelbagai kementerian.

“Mengapa kita perlu TVET? Kerana pelabur datang… kerana Malaysia dijadikan medan terpenting di Asia Tenggara untuk (sektor) semikonduktor. Lepas ini pula kecerdasan buatan. Ini semua kita beri peluang kerana kita tidak mahu anak-anak huffaz ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan 24,000 Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur anjuran Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, dalam majlis yang sama, beliau juga telah meluncurkan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 (STM 2.0).

Jelas Perdana Menteri, ia merupakan penambahbaikan kepada sistem penilaian yang bersepadu bagi mengiktiraf penghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Semoga STM 2.0 ini akan membuka peluang lebih besar kepada para huffaz melanjutkan pendidikan sesuai dengan tuntutan perubahan zaman,” katanya.

Dalam hantaran yang sama, Anwar turut berharap agar anak-anak huffaz tidak putus untuk berdoa agar negara terus makmur dalam menghadapi pelbagai cabaran demi kepentingan rakyat terbanyak.

“Para huffaz menggunakan ilmu dan kemahiran hafalan yang dimiliki untuk membawa mesej Islam sebagai agama rahmah, menyeru kepada kebenaran dan keadilan serta memupuk perpaduan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button