Politik

Kami masuk PRK Mahkota dengan misi bantu kemenangan calon BN – Saifuddin Nasution

KLUANG – Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk memberikan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemenangan itu penting dalam mengekalkan momentum sokongan rakyat selepas PRK DUN Nenggiri bulan lalu.

“Kami (PH) akan turun seolah-olah calon BN ini adalah calon PH. Kami masuk PRK Mahkota ini dengan misi membantu kemenangan calon BN.

“Kemenangan DUN Mahkota ini penting kerana akan mengekalkan momentum kemenangan Nenggiri yang diperoleh beberapa minggu lepas.

“Jadi, dengan kemenangan DUN Nenggiri dan DUN Mahkota ia akan memberi memberi momentum yang sangat baik dengan Johor antara negeri paling banyak menerima limpahan manfaat sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas pilihanraya (PRU15) yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon PRK Mahkota, Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini pada Sabtu.

Menjawab mengenai cabaran berdepan sentimen agama, bangsa dan raja-raja (3R) sepanjang kempen, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri yakin isu berkenaan tidak mampu mempengaruhi pengundi sepenuhnya seperti yang berlaku di PRK DUN Nenggiri.

“Saya tengok, semakin lama, rakyat menilai bahawa isu itu tidak selamanya boleh dimainkan walaupun PN masih mengekalkan (kempen tersebut). Tapi ia terhenti di (PRK) Nenggiri walaupun kawasan itu 98 peratus adalah pengundi Melayu dan Islam.

“Jadi jika pendekatan itu telah ditolak, saya yakin rakyat Johor akan mengambil pendirian sama.

“Sekiranya masih berlaku, saya merayu kepada pengundi untuk membuat penilaian sejernih-jernihnya kerana pendekatan itu tidak membawa kebaikan pun kepada masyarakat kita yang pelbagai kaum dan agama,” ujarnya.

PRK kerusi DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada BN dan PN.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, manakala PN diwakili Mohamad Haizan Jaafar, 61.

 

Show More

Related Articles

Back to top button