Berita Semasa

Tun Juhar dianugerahkan Laksamana Muda Maritim Kehormat

KOTA KINABALU – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin semalam dianugerahkan pangkat Laksamana Muda Maritim Kehormat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, penganugerahan pangkat kehormat itu telah melakar sejarah tersendiri apabila ia julung kali dianugerahkan kepada Yang di-Pertua Negeri.

“Penganugerahan pangkat kehormat ini sebagai tanda penghargaan kepada Tun Juhar serta kerajaan negeri Sabah atas
sokongan penuh kepada Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan perairan Sabah sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pemakaian pangkat kehormat berkenaan di Istana Seri Kinabalu semalam.

Turut hadir menyaksikan majlis pemakaian pangkat kehormat tersebut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah; Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik serta pegawai-pegawai kanan
Maritim Malaysia.

Saiful dalam pada itu turut merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada
Tuan Yang Terutama kerana sudi menerima pangkat kehormat daripada
Maritim Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button