Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Empat termasuk tiga penguatkuasa terima rasuah dari warga asing direman

IPOH – Tiga penguatkuasa dan seorang individu awam direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada program penghantaran balik warga asing ke negara asal.

Suspek dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM50 hingga RM300 bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan dari warga asing yang menyertai program secara sukarela itu.

Perintah reman selama dua hari sehingga 14 September 2024 terhadap empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Nora Sharif selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Ipoh hari ini.

Menurut sumber, kempat-empat suspek bersama dua lagi penguat kuasa wanita sebelum ini ditahan sekitar pukul 1 tengah hari sehingga 7.30 petang semalam di Pejabat SPRM Perak ketika hadir memberi keterangan.

“Mereka dipercayai telah melakukan kesalahan tersebut sejak Mac hingga September 2024 sebagai balasan untuk mempercepatkan proses kelulusan kepada warga asing yang ingin mengikuti program penghantaran pulang secara sukarela berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, dua penguat kuasa wanita yang ditahan semalam telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya diambil.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button