Jenayah & Mahkamah

Polis sahkan Elly Idzlianizar maut akibat ditetak

KANGAR – Polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias akibat kecederaan parah setelah ditetak dalam satu pergaduhan di Taman Behor Gonchar Jaya, di sini, malam Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima laporan mengenai pergaduhan tersebut pada jam 11.13 malam.

“Berdasarkan maklumat awal, pergaduhan melibatkan empat individu termasuk mangsa yang berlaku di laluan masuk persimpangan jalan di kawasan perumahan tersebut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurut beliau, setibanya anggota polis di lokasi kejadian, mangsa serta tiga individu lain yang terlibat telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan. Namun, Elly Idzlianizar disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan dipercayai akibat ditetak dengan senjata tajam.

Yusharifuddin turut memaklumkan bahawa polis berjaya menahan tiga suspek berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu di beberapa lokasi sekitar Kangar.

“Kami turut merampas beberapa barang bukti termasuk telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai sepanjang 112 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mendapati mangsa mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan dengan satu kesan tetakan di tangan kanan, tiga di tangan kiri dan selebihnya di bahagian belakang badan.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus apabila mangsa yang berada dalam keadaan marah tiba di rumah suspek utama berusia 51 tahun. Mangsa tiba dengan menaiki kereta jenis Proton Iriz berwarna biru, namun suspek tidak berada di rumah ketika itu,” jelasnya.

Bagaimanapun mangsa bertembung dengan suspek di laluan masuk taman perumahan tersebut, kemudiannya menyebabkan pergaduhan antara mereka, disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek berusia 31 tahun.

Yusharifuddin berkata, pihaknya turut menyiasat kemungkinan wujudnya unsur kongsi gelap dalam pergaduhan tersebut, memandangkan suspek utama mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk cubaan membunuh dan dadah, sementara dua lagi suspek turut mempunyai rekod jenayah dan dadah.

“Saringan air kencing menunjukkan suspek utama positif dadah, manakala dua lagi suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kesalahan,” tambahnya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Show More

Related Articles

Back to top button