Berita Semasa

Laut China Selatan laluan bebas – Mohamed Khaled

SEOUL – Tidak sepatutnya timbul sebarang isu apabila kapal asing melalui perairan Laut China Selatan, kerana ia adalah laluan bebas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled bagaimanapun, memberi jaminan pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memantau dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap sebarang aktiviti yang berlaku di laluan perkapalan melalui pengawasan dari laut, darat dan juga udara.

“Secara kebiasaannya memang banyak kapal-kapal yang lalu dan kita tahu tujuan serta jenis kapal berkenaan berdasarkan sistem radar kita, melainkan kalau sesebuah kapal itu bukan kapal komersial atau kapal tentera.

“Sekiranya ada kapal mencurigakan, apabila kita tanya dia gagal berikan butiran untuk pengesahan maka kita akan hantar pasukan untuk periksa.

“Kalau kita rasa ada pencerobohan perairan, kita akan ambil tindakan selaras amalan antarabangsa iaitu menghantar nota bantahan selepas kita merasakan adanya pencerobohan,” kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri persidangan Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024, di sini hari ini.

Di atas faktor laluan bebas, tambahnya, maka kapal dari mana-mana negara termasuk China dikesan di perairan berkenaan.

Namun, sekiranya terjadi situasi di luar norma, maka kerajaan tidak akan teragak-agak untuk bertindak.

Show More

Related Articles

Back to top button