Berita SemasaPM X

Kerajaan setuju kembalikan tanah adat 400 hektar Felda Wilayah Sahabat kepada penduduk asal

LAHAD DATU – Kerajaan mengumumkan persetujuan untuk mengeluarkan tanah adat anak negeri seluas 400 hektar di Tambisan, Lahad Datu, daripada kawasan Felda Wilayah Sahabat dan dikembalikan semula kepada orang kampung yang telah menduduki kawasan tersebut lebih awal sebelum Felda.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan di Facebook miliknya selepas mengadakan kunjungan ke Felda Wilayah Sahabat di Lahad Datu, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau telah dimaklumkan bahawa perkara tersebut telah disuarakan sejak puluhan tahun oleh penduduk Tambisan.

“Kerajaan Madani enggan membiarkan isu ini berlarutan dan Insya-Allah, ia akan diselesaikan bersama-sama Kerajaan Sabah dan Felda dalam tempoh dua bulan,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri Majlis Santunan Budi, Tautan Kasih Felda Madani di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat warga FELDA Wilayah Sahabat yang telah bersama-sama dengan badan penguat kuasa sebagai barisan hadapan dalam usaha menentang pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

“Teruja melihat keindahan FELDA Wilayah Sahabat yang terletak di tepi pantai. Terima kasih atas sambutan luar biasa daripada anak-anak FELDA seluruhnya.

“Namun, keindahan ini tidak datang bergolek, sebaliknya terhasil daripada jasa Almarhum Tun Abdul Razak yang mencetus idea membantu rakyat miskin menerusi program raksasa, dan kemudian disahut ibu-ibu dan bapa-bapa peneroka awal yang berkorban meneroka hutan belantara hingga wujudnya 317 rancangan Felda hari ini,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa Kerajaan sedang berusaha bertungkus lumus untuk meningkatkan eksport sawit yang banyak terhasil di ladang-ladang Felda bagi meningkatkan pendapatan warga peneroka.

“Kerana itu saya gunakan setiap ruang ketika bertemu pemimpin dunia seperti China, India dan Rusia untuk meningkatkan pembelian sawit Malaysia dan alhamdulillah, mereka menyatakan persetujuan hasil hubungan persahabatan yang akrab,” ujarnya.

Tambah Perdana Menteri, beliau juga mengambil maklum masalah air dan elektrik yang masih membelenggu beberapa kawasan dan memerlukan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya percaya isu ini boleh diselesaikan dengan kerjasama baik daripada Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button