Berita SemasaSukan

KDN FC mohon guna SSI bertemu JDT

KOTA BHARU – Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Malaysian Football League (MFL) untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai lokasi gelangang tuan rumah bagi perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 September ini.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan bersama JDT susulan kerja-kerja naik taraf Stadium Sultan Muhammad IV yang dijangka siap pada pertengahan Oktober depan.

“Kami terpaksa memohon perubahan lokasi gelangang kerana Stadium Sultan Muhammad IV kini dalam proses naik taraf. Setelah berbincang dengan pihak JDT, kami bersetuju untuk mengalihkan perlawanan ke SSI,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Rozi turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kebenaran dan kerjasama yang diberikan.

“Walau bagaimanapun, keputusan muktamad masih tertakluk kepada kelulusan MFL. Kami berharap permohonan ini dipertimbangkan dengan sewajarnya memandangkan ia melibatkan faktor yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Rozi turut menjelaskan pemilihan SSI sebagai gelangang adalah berdasarkan jarak yang dekat dengan perlawanan seterusnya melawan Negeri Sembilan FC di Paroi pada 27 September ini.

“Selain itu, pemindahan gelangang ini juga dapat menjimatkan kos pengurusan bagi KDN FC memandangkan kedua-dua stadium berdekatan,” katanya lagi.

Beliau juga berharap para penyokong memahami situasi yang dihadapi oleh kelab dan terus memberi sokongan kepada KDN FC sepanjang saingan Liga Super.

“Walaupun permohonan ini di luar kebiasaan, kami berharap MFL dapat menilai keadaan semasa dan memberikan kelulusan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button