Politik

Teresa tuntut bayaran ganti rugi RM25 juta daripada Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Naib Presiden DAP, Teresa Kok mengemukakan surat tuntutan (LOD) terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kenyataan fitnah yang dimuatnaiknya dalam video di aplikasi TikTok, Sabtu minggu lalu.

Ahli Parlimen Seputeh itu menuntut bayaran ganti rugi sebanyak RM25 juta menerusi Tetuan SN Nair & Partners.

Berdasarkan dokumen LOD tersebut, peguam, Sangkara Nair yang mewakili Teresa berkata, Dr Muhamad Akmal membuat kenyataan yang merujuk anak guamnya secara langsung dan tidak langsung dengan gelaran yang jelik.

Katanya, pemimpin DAP ini mendakwa, rakaman tersebut telah ditonton lebih 720,500 kali, dengan tanda suka sebanyak 75,000, 9,314 komen, 6,162 kegemaran dan sejumlah 8,784 perkongsian.

Katanya, kenyataan itu diterbitkan semula melalui pelbagai saluran media sosial termasuk portal berita.

“Ulasan berkenaan adalah palsu, melampau, keterlaluan, keji dan mengelirukan termasuk mencemarkan nama baik anak guam secara serius.

“Jika kami tidak menerima sebarang maklum balas dalam tempoh tujuh hari, tindakan undang-undang akan dibuat terhadap pemimpin UMNO tersebut,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin DAP itu mempertimbangkan tindakan undang-undang selepas mendakwa Dr Muhamad Akmal mahu menampal logo tidak halal pada dahinya.

Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Katanya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Show More

Related Articles

Back to top button