Berita Semasa

Tidak gunakan PKP untuk bendung Mpox – Dr. Dzulkefly

SUNGAI BULOH – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan menggunakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan cacar monyet (Mpox) di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiada keperluan PKP dilaksanakan semula susulan tiada jangkitan Mpox direkodkan selepas menjalankan saringan ke atas 6.2 juta pengembara di semua pintu masuk negara, setakat ini.

Beliau bagaimanapun menambah, masyarakat tidak boleh mengambil mudah jangkitan Mpox dan perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.

“Kita sudah keluar daripada pandemik COVID-19, tetapi saya diterjah dengan kemungkinan (jangkitan) Mpox, saya kerap diasak supaya meningkatkan prosedur operasi standard (SOP).

“Insya Allah, Mpox tidaklah akan mengulangi waktu seperti PKP. Namun, saya juga mahu ingatkan supaya kita jangan terlalu selesa kerana kita tahu kaedah jangkitannya.

“Jangan risau tidak akan ada MCO (lockdown) (seperti) dalam era pandemik Covid-19 namun saya juga mahu ingatkan semua jangan pula terlalu selesa kita tahu transisi (jangkitan) virus ini,” katanya.

Dr. Dzulkefly berkata demikian ketika berucap di Majlis Ulang Tahun Ke-20 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad; Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsuddin dan Pengarah ILKKM Sungai Buloh, Robert Wong Kim Han.

Dr Dzulkefly turut menjelaskan, KKM ketika ini sedang melaksanakan proses pemerolehan antiviral Mpox dengan golongan rentan akan diletakkan dalam senarai penerima utama.

“Kesiapsiagaan KKM membendung penularan Mpox berada di tahap terbaik. Justeru, orang ramai tidak perlu gusar dan cemas.

“Kita perlu wujudkan keseimbangan, tetapi jangan pernah ambil mudah mengenai penularan sebarang penyakit, sama ada berjangkit atau sebaliknya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button