Politik

Teresa pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh susulan kenyataan balasnya berhubung isu sijil halal.

Menurut Naib Pengerusi DAP itu, beliau akan mendapatkan khidmat nasihat daripada peguamnya berhubung perkara berkenaan.

“Saya akan berbincang dengan peguam saya (sekali lagi) selepas sesi ini,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Terdahulu, Teresa hadir ke Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung respon balasnya terhadap cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mahu mewajibkan sijil halal bagi gerai makan yang tidak menjual daging babi dan alkohol.

Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO dilaporkan melabel Teresa sebagai ‘nyonya tua’, selain meminta kerajaan untuk menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi Teresa.

“Pertama saya nak bagi tahu pada nyonya tua ini, sijil halal ini bukan sahaja arak dan babi, tapi sijil ini merangkumi bagaimana dia (peniaga) nak sediakan (makanan), bagaimana sumber (perniagaan) tu dapat.

“Jadi ini adalah aturan yang telah ditetapkan dan saya nak bagi tahu juga nyonya tua ini bahawa sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat. Hari ni kita dah dapat pendekkan kepada 23 hari saja dah boleh dapat sijil halal.

“Jadi apa masalah kamu dengan sijil halal ini?,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di TikTok.

Teresa sebelum ini mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Beliau berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, beliau mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran.

Show More

Related Articles

Back to top button