Berita Semasa

Program Veteran Madani bukti cakna kerajaan kepada veteran ATM

TAWAU – Kementerian Pertahanan (MINDEF) berikrar untuk terus memperjuangkan nasib dan kebajikan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) yang diadakan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan bahkan sentiasa berusaha menambah baik bantuan dan manfaat yang disediakan kepada golongan veteran.

Katanya, pada tahun ini, kerajaan telah meningkatkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) daripada RM118 juta kepada RM244 juta sejajar dengan Teras ke-6 Dasar Madani yang memfokuskan pada elemen ‘Ihsan’.

“Peningkatan peruntukan ini akan memastikan bantuan kebajikan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Persekolahan dan Bantuan Peralatan Pesakit disalurkan dengan berkesan.

“Peruntukan untuk Bayaran Sara Hidup turut meningkat tiga kali ganda dari RM54 juta kepada RM174 juta dan sehingga 30 Jun 2024, seramai 29,331 veteran telah menerima manfaat itu,” katanya.

Adly berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri PVM di Semporna dan Tawau melalui siri lawatannya selama dua hari yang berakhir hari ini.

Pada kunjungan itu, sebanyak 500 Bakul Rahmah berisi makanan, susu kesihatan, lampin pakai buang diagihkan kepada persatuan veteran setempat.

Beliau juga memaklumkan, daerah Semporna mempunyai seramai 594 orang veteran ATM manakala Tawau mempunyai 741 orang veteran.

“Dari keseluruhan itu terdapat 432 veteran yang tidak berpencen dan ia secara tidak langsung menggambarkan keperluan mendesak bagi bantuan kebajikan.

“Dalam program ini kami menziarahi 21 orang veteran ATM yang telah uzur termasuk tiga veteran yang kini bergelar usahawan.

Sehubungan itu, Adly turut mengulangi seruan kepada veteran tentera supaya mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi memudahkan bantuan disalurkan.

Katanya, program PVM bukan sekadar platform untuk bantuan kebajikan tetapi medan untuk memperkasakan sosioekonomi veteran ATM melalui lima fokus utama: kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan, dan pemerkasaan ekonomi.

“Insyallah MINDEF akan mempertingkatkan lagi program PVM dengan siri lawatan kebajikan akan datang bagi memastikan tiada veteran yang terpinggir,” jelasnya.

Sebelum lawatannya ke Tawau, Adly sempat menziarahi ahli keluarga Allahyarham Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa, anggota penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban semasa Operasi Salvaj KD PENDEKAR di Johor pada 28 Ogos lalu.

Allahyarham, anak kelahiran Kampung Sapagaya, Lahad Datu telah banyak berjasa kepada negara dan kunjungan itu menzahirkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan keluarga anggota ATM.

“Lawatan PVM lebih bermakna sebagai tanda penghargaan kepada veteran ATM yang telah berkorban demi kedaulatan negara,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Malaysia ke-61.

Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Ketua Pengarah JHEV, Sophian Isswandy Ismail dan wakil-wakil persatuan veteran ATM dari Semporna dan Tawau.

Show More

Related Articles

Back to top button