Berita SemasaPM X

Kerajaan iktiraf sumbangan komuniti Cina Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengiktiraf sumbangan komuniti Cina di Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi negara, sektor ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan perindustrian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usahawan Cina turut memainkan peranan global dalam memikul tugas memacu ekonomi tempatan dan antarabangsa.

“Dari Asia Tenggara ke Asia Timur, Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan Afrika, usahawan Cina telah bekerjasama rapat dengan semua pihak dan telah meletakkan asas untuk menjalin hubungan perniagaan dan ekonomi yang lebih mendalam dan kukuh merentas sempadan negara.

“Di Malaysia, kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina negara ini dalam perkembangan sosioekonomi, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan perindustrian,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Usahawan Cina Sedunia ke-17 (WCEC), di sini hari ini.

Perdana Menteri turut meminta komuniti usahawan Cina tempatan dan antarabangsa memberi pandangan serta nasihat untuk meningkatkan lagi persekitaran ekonomi yang kondusif di Malaysia, dalam usaha menarik pelaburan dan memacu inovasi.

Beliau seterusnya menambah, di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI, kerajaan menjaminan keutamaan akan terus diberikan kepada peningkatan landskap ekonomi dan bersedia membuat pengubahsuaian yang perlu kepada sistem serta dasar sedia ada.

“Kami membuat dasar, namun anda yang nasihatkan kami apa lagi yang perlu dilakukan untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi pelaburan dan inovasi.

“Kami di sini bukan untuk mengatakan yang sistem dan dasar sedia ada sempurna. Kami di sini untuk mentadbir dan belajar serta membuat pelarasan yang diperlukan kerana asasnya tetap adalah kemajuan ekonomi.

“Hanya melalui kejayaan ekonomi, anda boleh memastikan adanya perumahan, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur yang lebih baik untuk rakyat kita.

“Inilah yang dimaksudkan dengan keterangkuman, dasar yang bukan saja membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi tetapi yang jelas prihatin dan mementingkan kebajikan rakyat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button