Berita Semasa

Isu sijil halal: Teresa sedia beri kerjasama penuh siasatan polis

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal.

Teresa menegaskan, beliau tidak pernah membantah pensijilan halal di negara ini, sebaliknya beliau giat mempromosi pensijilan halal Malaysia ketika memegang Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor.

“Saya ingin tekankan saya tidak pernah membantah pensijilan halal kerana ketika saya berada dalam kerajaan negeri Selangor, saya selalu mempromosikan pensijilan halal.

“Saya juga katakan kepada pelabur, pensijilan halal di Malaysia adalah yang paling tinggi di dunia,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Terdahulu, Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP telah dipanggil ke Bukit Aman, di sini hari ini untuk diambil keterangan berhubung isu sijil halal terbabit.

Hadir sama, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan serta beberapa pemimpin dan penyokong yang menyatakan solidariti terhadap Teresa.

Mengulas lanjut, Teresa berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menyuarkan suara hati rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Justeru itu, beliau mahu kerajaan mengkaji semula cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mahu mewajibkan sijil halal bagi gerai makan yang tidak menjual daging babi dan alkohol.

“Saya minta kerajaan untuk mengkaji semula cadangan tersebut dan saya tegaskan saya tidak mempersoalkan sijil halal, peranan Jakim atau tidak menghormati agama Islam.

“Saya tahu ini akan mendatangkan banyak masalah khususnya kepada pengusaha restoran yang kecil kerana proses sijil halal itu mengambil masa yang panjang dan melibatkan kos,” katanya.

Sementara itu, Teresa turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penyokong-penyokongnya yang turut hadir ke Bukit Aman hari ini bagi menyatakan solidariti terhadapnya.

Terdahulu, Teresa mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Beliau berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Kok mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran.

Show More

Related Articles

Back to top button