Berita SemasaJenayah & Mahkamah

‘Counter Setting’ : Taukey syarikat bawa masuk pekerja asing direman SPRM

PUTRAJAYA – Seorang pemilik syarikat warga Bangladesh direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai bersekongkol merasuah penguatkuasa untuk membawa masuk warga asing ke negara ini tanpa pemeriksaan sepatutnya.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 16 September 2024 terhadap suspek lelaki berusia dalam lingkungan usia 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek telah ditahan sekitar Kuala Lumpur menerusi Op Pump kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam.

“Suspek dan beberapa ejen sindiket berkenaan dipercayai telah membayar sejumlah wang rasuah kepada beberapa pegawai di sebuah agensi penguat kuasa antara RM200 hingga RM25,000 sebagai balasan untuk memudahkan kumpulan warga asing melepasi pintu masuk udara negara tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya.

“Wang rasuah berkenaan sebagai balasan bagi melindungi, memudahkan urusan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas warga asing yang tidak memenuhi syarat serta tidak mengikut prosedur yang sah di bawah Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek kes menggunakan modus operandi ‘counter setting’ itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Tahanan itu adalah susulan daripada lima suspek termasuk tiga penguat kuasa yang ditahan reman pada 30 Ogos lalu.

 

Show More

Related Articles

Back to top button