Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Bekas eksekutif GLC beri kontrak RM1.4 juta kepada syarikat suami direman

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas eksekutif di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GC) direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan salah guna kuasa bagi menyokong lantikan syarikat milik suami mendapatkan kontrak bernilai RM1.4 juta.

Perintah reman selama enam hari terhadap suspek berusia dalam lingkungan usia 40-an itu dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi.

Sementara itu, seorang lagi suspek wanita berusia dalam lingkungan usia 50-an yang merupakan pemilik syarikat turut ditahan tetapi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sumber berkata, kedua-dua suspek telah ditahan antara pukul 2.30 petang sehingga 3.50 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.

“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2019 dengan menggunakan jawatannya bagi mencadang dan menyokong syarikat milik suaminya untuk mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

“Suspek juga dipercayai bersubahat bersama suspek kedua mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan ujian saringan Covid-19 berjumlah kira-kira RM2,000 pada tahun 2022 sedangkan ujian tersebut tidak dilaksanakan.

“Pada tahun 2023, suspek utama juga disyaki bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan pembekalan barangan plastik berjumlah kira-kira RM2,000 sedangkan barangan tersebut tidak dibekalkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 23 dan 18 Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa tangkapan susulan akan dibuat.

 

Show More

Related Articles

Back to top button