Automatif & TeknologiBerita Semasa

MAHA 2024: Pelbagai tarikan baharu sempena 100 tahun, sasar 3 juta pengunjung

SERDANG – Pameran Pertanian Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa 2024

(MAHA 2024) yang bakal berlangsung dari 11 hingga 22 September tampil dengan pelbagai tarikan baharu sempena sambutan 100 tahun penganjurannya.

Pameran agromakanan terbesar negara dijangka menarik tiga juta pengunjung dengan lapan fokus utama dan enam tarikan baharu diperkenalkan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MAHA 2024 akan menjadi platform penting untuk mempamerkan potensi sektor pertanian negara yang maju, berteknologi tinggi dan mampan.

“Kami berharap penganjuran ini mampu membuka ruang inovasi dalam sektor pertanian serta menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi negara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dengan tema “Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom” MAHA 2024 turut menyasarkan nilai memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian (MoA) sebanyak RM6 bilion, jualan langsung bernilai RM40 juta, serta RM600 juta potensi pembiayaan dan padanan perniagaan.

Mohamad berkata, MAHA kali ini turut menekankan penglibatan antarabangsa melalui segmen MAHA Go Global yang sehingga kini telah disertai 16 negara, termasuk Jepun, Thailand, Brunei, dan beberapa negara Eropah.

“Inisiatif itu bertujuan mempromosikan teknologi pertanian, padanan perniagaan, serta membuka peluang pelaburan dalam sektor agromakanan negara,” katanya lagi.

“Penganjuran MAHA Go Global akan memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk bekerjasama dengan negara luar, meningkatkan eksport dan inovasi dalam sektor pertanian.

“Tiga hari pertama (11 hingga 13 September) diperuntukkan untuk perniagaan (B2B), manakala mulai 14 hingga 22 September dibuka kepada umum,” katanya.

Mohamad berkata, acara itu turut menampilkan tarikan baharu seperti Magical At Night and Water Show, Rhythm of Farmers, Sunflower Garden dan Floating Market di samping pelbagai kemudahan tambahan seperti laluan pejalan kaki berbumbung sejauh 1.1 km, bas perantara percuma, tram, serta ruang glamping dan motorhome.

“Dengan penekanan pada segmen pameran seperti Agro-Tech, Agro-Food dan Agro-Youth, MAHA 2024 dijangka menggabungkan elemen tradisional dan moden untuk menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, terutama golongan muda,” katanya lagi.

Sebanyak 13 pavilion negeri akan mempamerkan keunikan seni budaya, produk dan makanan tradisional setiap negeri. Selain itu, kemudahan untuk pengunjung turut dipertingkatkan, termasuk perkhidmatan bagi orang kurang upaya (OKU), parkir khas, dan bas perantara di beberapa lokasi strategik seperti stesen MRT UPM dan Putrajaya Wetland.

Pameran yang diperkenalkan sejak 1923 ini telah berevolusi dan kini menjadi salah satu acara yang paling dinantikan oleh masyarakat, memfokuskan teknologi terkini dalam sektor pertanian serta keterjaminan makanan negara.

Show More

Related Articles

Back to top button