Berita Semasa

Taman Rekreasi Che Minat Sayang dicemari Rotavirus

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengesahkan kejadian cirit-birit, muntah dan demam melibatkan 15 mangsa kanak-kanak dan seorang dewasa selepas berkunjung ke Taman Rekreasi Che Minah Sayang di Maran, dekat sini berpunca daripada jangkitan Rotavirus.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, hasil ujian yang dijalankan mempercayai jangkitan berpunca daripada pembuangan lampin pakai buang bayi di kawasan itu.

“Hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati penyebab wabak ini adalah jangkitan Rotavirus. Manakala, hasil ujian makmal bagi pengesahan penyakit kencing tikus (Leptospirosis) adalah negatif.

“Wabak Rotavirus ini berkemungkinan berpunca daripada air sungai yang tercemar dengan sisa buangan lampin pakai buang bayi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Rusdi berkata, dalam kejadian itu, 15 kanak-kanak berusia antara dua hingga 11 tahun dan seorang wanita berusia 27 tahun yang merupakan ibu kepada salah seorang mangsa mengalami gelaja jangkitan virus berkenaan.

Katanya, kesemua mangsa yang dirawat di Hospital Jengka itu kini dalam keadaan stabil manakala mangsa wanita dewasa dirawat sebagai pesakit luar.

Susulan kes itu, beliau berkata, JKN Pahang menasihati pihak pengurusan Taman Rekreasi Che Minah Sayang untuk menjalankan kerja pembersihan di sekitar taman rekreasi itu.

“Orang awam juga disarankan untuk mengambil cakna dengan tidak membawa anak-anak yang kurang sihat atau warga emas untuk berekreasi di taman rekreasi tersebut.

“JKNP ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi etika kebersihan dengan melupuskan lampin pakai buang bayi dengan cara yang selamat serta tidak membuang sampah-sarap merata-rata ketika mengunjungi mana-mana taman rekreasi.

“Jabatan ini juga akan terus memantau perkembangan wabak ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button