Berita Semasa

Sijil halal: Polis terima lima laporan berhubung kenyataan Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, susulan kenyataannya mengenai isu pensijilan halal yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, siasatan terhadap Ahli Parlimen Seputeh akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Jelas Ketua Polis Negara, siasatan terhadap Teresa dibuat susulan lima laporan diterima PDRM setakat hari ini.

“Setakat ini, pihak PDRM menerima lima laporan di seluruh negara dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“SOP siasatan 3R akan dijalankan setelah laporan polis diterima dan semua saksi-saksi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Razarudin berkata, siasatan kes akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kita akan memanggil Teresa dan saksi lain dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun kebebasan memberi pendapat dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan, ia masih mempunyai batasan.

Selain itu, Razaruddin turut menasihatkan rakyat Malaysia tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.

“Kenyataan bersifat sedemikian adalah kesalahan yang termaktub dalam Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam,” katanya.

Kelmarin, Teresa mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Ahli Parlimen kerajaan dari DAP itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Kok mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran.

Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button