Berita Semasa

Putera MIC kecewa isu keciciran pelajar India

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memandang serius isu keciciran pelajar India yang semakin ketara berikutan dasar kerajaan yang didakwa kurang memberi perhatian kepada pembangunan kaum itu.

Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr. Shatesh Kumar berkata, kadar keciciran kaum India dari peringkat pra sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi perlu diberikan perhatian lebih serius oleh kerajaan.

“Sebanyak 45 peratus kanak-kanak India tercicir daripada mengikuti pembelajaran pra sekolah yang cukup penting dalam perkembangan kanak-kanak.

“Di peringkat sekolah rendah, sebanyak 13 peratus tercicir daripada mengikuti pendidikan manakala di peringkat menengah sebanyak 8 peratus tercicir,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Tribune hari ini.

Selain itu, Dr. Shatesh berkata, peluang pendidikan yang sewajarnya juga tidak diberikan kepada pelajar India di peringkat pendidikan tinggi dengan jumlah kouta yang kini berkurang kepada 1,500 orang.

Beliau turut menggesa kerajaan mencari jalan penyelesaian secara holistik yang perlu dirangka bersama Kementerian Pendidikan agar pelajar India diberi peluang dan ruang sewajarnya.

“Putera MIC ingin menyatakan kekecewaan kerana isu berhubung soal pendidikan pelajar India di negara ini kurang diperjuangkan.

“Isu pendidikan ini memerlukan satu tindakan penyelesaian di peringkat akar umbi,” katanya.

Sehubungan itu, Shatesh menyarankan kerajaan menyediakan peruntukan khas kepada sekolah jenis kebangsaan Tamil dan tidak menggabungkan peruntukan seperti Belanjawan 2024.

Beliau juga menggesa kerajaan menaikkan kouta ke Matrikulasi bagi pelajar India dinaikkan kepada 2,200 orang.

Selain itu katanya, lebih banyak peruntukan tambahan bagi biasiswa pendidikan tinggi boleh disediakan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) seperti mana disediakan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Majlis Amanah Rakyat (Rakyat).

Show More

Related Articles

Back to top button