Politik

Isu sijil halal: Kenyataan Teresa hanya keruhkan keadaan – PM

SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengenai isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian parti itu.

Menurut Perdana Menteri, tiada keperluan bagi Teresa mengeluarkan kenyataan itu, selain menyifatkan kenyataan Naib Pengerusi DAP itu hanya mengeruhkan keadaan.

“Kita kena jaga sentimen orang Islam dan bukan Islam. Cara dia (Teresa Kok) runding secara elok dahulu bukan tunjuk kehebatan masing-masing.

“Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil penghargaan dunia baik, ekonomi naik perlu apa perkara-perkara ini nak merosakkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) di sini, hari ini.

Terdahulu, Teresa mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Ahli Parlimen kerajaan dari DAP itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Kok mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran.

Kenyataan Teresa itu kemudiannya mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button