Berita Semasa

Elak insiden ‘Abang Bas’ berulang, persatuan akan edarkan garis panduan

'Tidak semua pemandu bas faham peruntukan dalam Akta Kanak-kanak, Akta Komunikasi dan Multimedia'

PETALING JAYA – Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia akan mengeluarkan garis panduan kepada ahlinya susulan penahanan seorang pemandu yang memuat naik kandungan murid di TikTok, baru-baru ini.

Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata, garis panduan tersebut akan diedarkan pada mesyuarat agungnya pada 19 Sept ini, lapor portal FMT.

Amali Munif turut berkata, ahli persekutuan sudah diberi peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan suspek berusia 24 tahun yang ditahan polis di Simpang Renggam, Johor, semalam.

“Kita hantar peringatan kepada ahli kita apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan kepada seluruh persatuan di seluruh negara.

“Kita juga tubuhkan garis panduan yang akan diberitahu pada mesyuarat agung 19 Sept ini,”katanya lagi.

Amali berkata, tidak semua pemandu bas memahami peruntukan dalam Akta Kanak-kanak serta Akta Komunikasi dan Multimedia, menyebabkan ada antara mereka tidak menyangka sesuatu tindakan dibuat menyalahi undang-undang.

Sebelum ini, seorang pemandu bas sekolah yang mempunyai lebih 640,000 pengikut di TikTok, sering memuat naik video jelas memaparkan wajah murid yang menjadi penumpangnya, dan menampilkan kapsyen yang tidak sesuai ditujukan kepada murid.

Suspek kini diitahan reman selama lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Show More

Related Articles

Back to top button