Program Protege: YLTAT tawar 5,000 kekosongan setiap tahun
Tawaran itu menawarkan elaun RM2,000 setiap bulan kepada peserta
KLUANG – Sebanyak 5,000 peluang ‘internship’ ditawarkan kepada anak kakitangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan anak veteran tentera melalui Program Protege Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) setiap tahun.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program berbentuk internship atau penempatan pekerjaan itu ditawarkan kepada para graduan yang telah menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi (IPT) untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan.
Lebih menarik katanya, peserta itu juga menyediakan bayaran elaun sebanyak RM2,000 sebulan selama setahun tempoh program.
“Bagi program protege ini, sebanyak 5,000 tempat kosong disediakan pada setiap tahun dengan bayaran elaun RM2,000 selama setahun untuk anak-anak tentera,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian melalui program Bicara Menteri Pertahanan sempena Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 (MBP) anjuran LTAT di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datu Muhammad Hafizuddeain Jantan selaku wakil rasmi Panglima Angkatan Tentera.
Beliau berkata, selain kelebihan itu, pelbagai manfaat lain disediakan kepada pencarum LTAT dalam aspek pendidikan bahkan bermula seawal pendidikan peringkat rendah.
Antaranya adalah pembukaan akaun percuma Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada semua anak kakitangan MINDEF dan anak veteran untuk memupuk semangat menabung untuk masa depan.
“YLTAT telah membuka akaun kepada 9,355 orang pelajar anak-anak anggota dan veteran yang bernilai RM50 setiap seorang,” katanya.
Selain itu katanya, yayasan juga menyediakan tuisyen kepada pelajar yang bakal menduduk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memastikan mereka mempunyai pilihan kepada pendidikan berkualiti.
“Pada mulanya ita telah mengadakan tuisyen di sekolah-sekolah sekitar kem di Lembah Klang tapi tahun ini kita telah lancarkan program tuisyen secara dalam talian melalui kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.
Tambah beliau, bagi melancarkan program tuisyen secara online itu, YLTAT juga telah memberikan 900 buah komputer riba melalui tajaan BHPetrol kepada setiap pelajar (satu keluarga) pada tahun ini.
Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 yang berakhir hari ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan platform bual bicara yang memberi penekanan kepada faedah pencaruman LTAT dan pendedahan berhubung pengurusan kewangan.
Turut diluncurkan pada majlis itu Laporan Pencarum LTAT 2023 iaitu sebuah inisiatif terbaru LTAT yang memberi kefahaman mengenai peranan LTAT terhadap warga ATM dan pembangunan ekonomi negara.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune