Berita Semasa

Isu video murid perempuan, Fahmi persoal kenapa TikTok benarkan akaun terlibat terus beroperasi

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mempersoalkan kenapa TikTok membenarkan akaun yang memuatnaik kandungan seperti video pemandu bas merakam video murid perempuan dalam kenderaan dibenarkan beroperasi sebegitu lama.

Kata Fahmi, beliau sudah berhubung dengan Tiktok pagi tadi dan pihak terbabit memberikan kerjasama baik kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bila saya meneliti komen dalam kandungan berkenaan, ia agak merisaukan… Kita tak tahu berapa banyak akaun lain yang sama seperti akaun ini yang ada dalam TikTok.

“Di sini saya lihat platform media sosial perlu memberikan kerjasama yang lebih kepada pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Perundangan Antarabangsa Kemudaratan dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Fahmi lagi, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) bagi mengenal pasti pihak lain yang didapati melakukan kesalahan dalam isu ini.

“MCMC sudah berhubung dengan TikTok untuk melakukan pemeliharaan data dan memastikan segala maklumat diperlukan PDRM, dapat diperoleh segera,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, pihaknya kini sedang membina kod tata laku bersama platftom media sosial.

“Pusingan pertama perbincangan sudah dimulakan Selasa lalu. Saya jangka perbincangan ini akan berterusan dan menjelang hujung Oktober atau November, ia akan selesai dibangunkan.

“Di situ ia akan menjadi panduan kepada platform sekiranya berlaku pelanggaran,” katanya.

Ketika berucap pada persidangan berkenaan, Fahmi berkata, beliau bersama timbalannya, Teo Nie Ching sudah mengadakan pertemuan dengan platform sosial media sebanyak 21 kali dalam tempoh dua tahun lalu.

Katanya, pertemuan itu bagi meminta platform sosial media mengubah cara mereka dalam berurusan dengan scam dan menangani isu buli siber.

Show More

Related Articles

Back to top button