Berita Semasa

Transformasi kesihatan perlukan anjakan daripada merawat kepada mencegah, menggalak dan meramal – Menteri Kesihatan

JOHOR BAHRU – Lebih 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa hadir ke Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Keluarga Ke-26 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, program yang berlangsung bermula semalam hingga 7 September ini adalah anjuran bersama Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) dan Pakar Perubatan Keluarga Johor.

Katanya, program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan negeri Johor, Monash University Malaysia dan Newcastle University Medicine Malaysia.

“Program ini berjaya menarik lebih 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa dari pelbagai sektor, terutamanya yang berada dalam bidang penjagaan kesihatan primer.

“Transformasi kesihatan yang saya usahakan memerlukan anjakan daripada pendekatan kesihatan yang bersifat merawat (curative) kepada yang bersifat mencegah, menggalak dan meramal (preventive, promotive and predictive).

“Ini kebanyakannya berlaku di barisan hadapan, iaitu di peringkat perkhidmatan kesihatan primer. Oleh itu, tema tahun ini, “Embracing the Challenges of Change: Road to Champion” amatlah penting kerana perkhidmatan kesihatan primer semakin berkembang dan mencabar,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.

Justeru katanya, ini menjadi lebih relevan kerana ‘pandemic of NCDs’ (ledakan penyakit tidak berjangkit) meningkatkan bebanan besar penyakit (heavy burden of disease) ke atas rakyat dan sistem kesihatan negara.

“Saya percaya pakar-pakar kesihatan keluarga yang hadir akan dapat menyumbang kepada wacana, manakala profesional kesihatan lain yang turut serta akan mendapat manfaat.

“Kedua-dua penting untuk memacu kecemerlangan dalam bidang kesihatan keluarga,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button