Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Koperasi mampu bertindak sebagai ejen utama basmi kemiskinan – Ewon Benedick

MELAKA – Pengiktirafan terhadap 100 koperasi terbaik Malaysia tahun ini dijangka mampu menjadikan koperasi sebagai ejen utama dalam membasmi kemiskinan.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyeru koperasi terbaik di negara ini untuk terus memperkukuh hasil perniagaan mereka.

“Pentingnya falsafah dan prinsip koperasi yang menjadikan koperasi sebagai model perniagaan unik, mampu menyokong Ekonomi Madani serta mengangkat martabat negara,” katanya.

Terdahulu, Ewon bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melancarkan profil koperasi terbaik dalam Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi di sini, semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Melaka, Seah Shoo Chin serta Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Rusli Jaafar.

Antara lima koperasi yang menerima anugerah dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2024 ialah Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad, Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad, Koperasi Kakitangan Petronas Berhad, Koperasi Tenaga Nasional Berhad dan Koperasi Ladang Berhad.

Selain itu, lima Anugerah Koperasi Premier 2024 turut disampaikan kepada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, Koperasi Co-Opbank Pertama Malaysia Berhad, Koperasi NLFCS Berhad dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad.

Sementara itu, pada majlis itu juga, Ewon mengumumkan permohonan kerajaan negeri Melaka untuk menjadi tuan rumah bagi Konvensyen Koperasi Masjid Peringkat Kebangsaan 2025 serta Hari Koperasi Negara 2025.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa gerakan koperasi di Melaka berpotensi besar dalam membantu membasmi kemiskinan, selaras dengan hasrat negeri ini untuk mencapai visi “Menuju Negeri Lestari” pada tahun 2035.

“Melaka mempunyai 487 koperasi dengan keanggotaan sekitar 178,000 orang dan berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM156 juta,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button