Berita Semasa

Isu penempatan pegawai JAKIM: Menteri Agama jumpa MCCBCHST esok

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar akan bertemu dengan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) esok berkaitan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di jabatan kerajaan dan kementerian.

Menurut Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harmoni (JK HARMONI) yang dikendalikan bersama oleh pihaknya dan JAKIM telah menubuhkan tiga biro (sub jawatankuasa) yang bertujuan untuk
memastikan gerak kerja lebih efektif dalam melaksanakan inisiatif keharmonian antara agama di Malaysia.

“Salah satu biro adalah Biro Pengurusan
Isu Agama dan Mediasi yang memberi tumpuan dalam usaha merungkai isu-isu
dan konflik berkaitan agama yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang
berpotensi mengancam perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia dan menjadikan mediasi sebagai kaedah penyelesaian alternatif bagi tujuan
pendamaian atau menyelesaikan apa-apa pertikaian dan perselisihan dalam
kalangan anggota masyarakat yang berbilang agama dan bangsa,” katanya.

Katanya, Menteri Perpaduan Negara,Datuk Aaron Ago Dagang berharap supaya wakil-wakil agama dapat memanfaatkan ketiga-tiga biro di bawah JK HARMONI dalam mencari solusi dan penyelesaian kepada isu-isu berhubung keharmonian antara
penganut agama.

Jelasnya, konsep Faham, Hormat, dan Terima perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia bagi merapatkan perbezaan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Faham, Hormat, dan Terima sebagai prinsip asas bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, bahkan dapat menangani isu-isu yang berkaitan dengan keharmonian antara penganut agama, meningkatkan sifat hormat menghormati dan mengukuhkan pemahaman.

“Kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)
sentiasa bersedia untuk menyediakan perkhidmatan Mediator Komuniti dalam
mengurus isu-isu perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kementerian
telah melantik 562 orang Mediator Komuniti sebagai pendamai masyarakat yang dikenali dalam membendung dan mengurus isu-isu perpaduan atau konflik sosial di peringkat komuniti.

“Walaupun wujud perbezaan daripada kepelbagaian yang menjadi cabaran dalam mengukuhkan perpaduan namun jika ianya diuruskan dengan baik, kepelbagaian ini menjadi kekuatan negara dalam membentuk Malaysia Madani yang harmoni dan bersatu-padu,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button