Berita Semasa

Buaya Taman Tasik Shah Alam berjaya ditangkap

SHAH ALAM – Buaya di Taman Tasik Seksyen 7 yang mencetuskan kegemparan penduduk di sekitar di kawasan di sini berjaya ditangkap tidak sampai tempoh 24 jam selepas perangkap dipasang.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, buaya berkenaan dikesan memasuki perangkap pada 10.30 malam.

“Buaya yang kita selamatkan malam ini adalah buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter yang berusia tiga ke lima tahun dengan anggaran berat 15 hingga 20 kilogram.

“Ini adalah operasi menyelamatkan buaya paling pantas yang kita lakukan kerana tidak sampai 24 jam perangkap dipasang, ia sudah memakan umpan segar yang kita letak.

“Saya kira antara yang membantu kita dapat menyelamatkan buaya ini dengan pantas kerana kita kaji dulu perilaku hidupan liar ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Seekor buaya di Taman Tasik Seksyen 7 yang berjaya diselamatkan dalam satu operasi semalam.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Adib berkata, tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup taman tasik bermula malam tadi juga mendorong reptilia itu memasuki perangkap kerana suasana sunyi dan tiada gangguan.

Katanya, Perhilitan juga akan meminta MBSA terus menutup taman tasik itu pada waktu malam bagi tempoh sehari dua ini bagi membolehkan pihaknya membuat pemantauan untuk memastikan tiada buaya lain di kawasan berkenaan.

“Buaya ini kita akan dipindahkan ke Paya Indah Wetlands malam ini juga,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button