Berita SemasaPM X

Perdana Menteri tiba di Vladivostok sempena Forum Ekonomi Timur

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Vladivostok, Rusia dalam lawatan kerja dua hari beliau ke negara itu sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 yang bermula hari ini.

Perdana Menteri dan delegasi Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok kira-kira pukul 6.30 pagi waktu Malaysia.

Delegasi Malaysia disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

Ketibaan delegasi negara disambut oleh Duta Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai; Pengarah Bahagian Asia Ke-3, Kementerian Luar Negeri Persekutuan Russia, Ludmilla Vorobieva; Naib Gabenor Wilayah Primorskii, Aleksei Nazdratenko dan Naib Datuk Bandar Daria Stegniy.

“Alhamdulillah, selamat tiba di Vladivostok, Persekutuan Rusia.

“Kunjungan ini pastinya akan membawa manfaat yang terbaik kepada Malaysia terutamanya dalam memperkukuh kerjasama serta hubungan kedua-dua negara Malaysia dan Persekutuan Rusia,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya pagi ini.

Bernama sebelum ini melaporkan Anwar dijadualkan bertemu Presiden Vladimir Putin pada forum tersebut dan akan menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS yang dipengerusikan oleh Rusia.

Show More

Related Articles

Back to top button